Semua pakat pergi Turkiye ke? – sindir MP pembangkang

Semua pakat pergi Turkiye ke? – sindir MP pembangkang

PEMBANGKANG menyindir menteri dan timbalan menteri kerajaan perpaduan susulan blok menempatkan tempat duduk mereka di Dewan Rakyat kosong petang semalam.

Difahamkan, sebahagian besar anggota Jemaah Menteri tidak kelihatan di dalam Dewan Rakyat ketika Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berbahas.

“Mana habis semua orang? Semua pakat pi (pergi) Turkiye ka?,” sindir Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakarian menerusi ciapan di Twitter semalam.

Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Hamid pula menerusi ciapan di Twitter memaklumkan kerusi di blok kerajaan kosong sejak jam 2.30 petang semalam.

Terdahulu semalam Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin mendedahkan blok menteri dan timbalan menteri kosong ketika Ketua Pembangkang berbahas di Dewan Rakyat.

Menerusi hantaran di Facebooknya, wakil rakyat Bersatu itu berkongsi gambar tempat duduk di hadapannya yang kosong, diambil pada jam 4.16 petang. – Malaysiapost

Komen