Wan Saiful gesa SPRM siasat Anwar
KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mencadangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan salah laku ketika menjadi Menteri Kewangan pada 1998.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu, berkata siasatan terhadap Anwar itu berkait dengan isu pemberian saham kepada bapa dan adiknya ketika beliau menjadi Menteri Kewangan.
“SPRM juga perlu menyiasat pengakuan (Datuk Seri Dr Ahmad) Zahid Hamidi bahawa dia telah menerima saham hasil pertolongan Anwar Ibrahim.
“Adakah peristiwa ini merupakan rasuah politik untuk mendapatkan sokongan Zahid Hamidi sejak dari waktu itu lagi, hinggakan melahirkan Zahid Hamidi yang sujud kepada Anwar hari ini?,” katanya menerusi Facebook.
Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, Anwar hari ini memusatkan kuasa kepada dirinya dengan memegang jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
“Yang nyata inilah dia nepotisme. Memberi saham dan jawatan kepada bapa, adik, isteri, anak dan rakan.
“Berapa banyak lagi amalan nepotisme rahsia yang dilakukan apabila kuasa dipusatkan sebegitu cara?,” soalnya.
Terdahulu, Wan Saiful menyambut baik ketegasan kerajaan dalam memerangi rasuah termasuk siasatan terhadap seorang bekas Menteri Kewangan yang kini berumur 84 tahun.
“Nampaknya hobi kerajaan hari ini ialah membalas dendam kesumat politik.
“Sebab itulah semasa YB Taiping berucap dalam Dewan Rakyat petang semalam, saya mencelah dengan satu cadangan (siasat Anwar),” katanya.
Semalam, media melaporkan, seorang bekas Menteri Kewangan disiasat SPRM berhubung Pandora Papers yang mendedahkan mengenai penyimpanan harta di luar negara berjumlah ratusan bilion ringgit.
Difahamkan bekas menteri berkenaan sudah diambil keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. – Malaysiapost