61 tahanan Rohingya lolos masih gagal dikesan – Saifuddin
PIHAK berkuasa masih memburu baki 61 tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang pada 20 April tahun lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata hasil operasi pencarian berjaya menahan semula 461 orang membabitkan 331 dewasa dan 130 kanak-kanak.
“Sementara enam lagi tahanan meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya semasa melarikan diri.
“Semua tahanan yang telah dapat dikesan dan dijumpai semula dalam insiden tersebut telah dipindahkan ke depot imigresen lain.
“Namun, usaha-usaha untuk mengesan seramai 61 orang tahanan masih diteruskan sehingga sekarang,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) meminta kerajaan menyatakan maklumat terkini siasatan terhadap insiden di Pusat Tahanan Imigresen sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang itu.
Sebelum ini, media melaporkan seramai 528 tahanan etnik Rohingya di pusat tahanan sementara itu melarikan diri kira-kira jam 4 pagi, selepas merusuh dengan memecahkan pintu blok dan gril penghadang.
Saifuddin berkata, polis sudah melengkapkan laporan siasatan kes rusuhan dan semua tahanan terlibat akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat. – Malaysiapost