93 ventilator tak boleh guna, KKM rugi RM13.07 juta
SEBANYAK 93 daripada 136 unit ventilator yang dibekalkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) antara 2020 hingga April 2022 ketika pandemik Covid-19 tidak boleh digunakan.
Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid, berkata ia menyebabkan anggaran kerugian berjumlah RM13.07 juta.
Menurutnya, alat pelindungan peribadi (PPE) turut menunjukkan lebihan yang ketara dengan nisbah penggunaan antara 2.2 peratus dan 3.1 peratus masing-masing membabitkan sarung kasut dan sut PPE.
Katanya, ia berbaki sebanyak 3.08 juta pasang sarung kasut dan 0.84 juta helai sut PPE.
Beliau berkata, audit juga mendapati RM145.37 juta baki peruntukan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) belum dipulangkan oleh dua kerajaan negeri.
“Terdapat kelemahan dalam aspek pengurusan program yang perlu diberi perhatian iaitu RM145.37 juta baki peruntukan dana KWAN masih belum dipulangkan oleh kerajaan negeri sehingga April 2022.
“Sebanyak 93 unit ventilator yang dibekalkan oleh syarikat kepada fasiliti KKM tidak dapat digunakan. Ini menyebabkan anggaran kerugian sejumlah RM13.07 juta,” katanya pada sidang media Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2021 Siri 2, hari ini.
Laporan berkenaan dibentangkan di Dewan Rakyat pagi ini.
Nik Azman berkata, dua negeri yang masih belum mengembalikan dana KWAN adalah Selangor dan Sabah, yang sepatutnya dipulangkan selepas program itu tamat pada Oktober 2022. – Malaysiapost