Adun Kunak sedia disiasat SPRM

Adun Kunak sedia disiasat SPRM

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Kunak, Norazlinah Arif sedia disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan tindakannya meninggalkan Parti Warisan (Warisan) baru-baru ini.

Beliau yang menafikan tuduhan ‘dibeli’ untuk menyokong kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengalu-alukan siasatan SPRM itu sekiranya Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mempunyai bukti.

“Saya mengalu-alukan siasatan SPRM sekiranya Mohd Shafie ada bukti kukuh. Saya beberapa kali menafikan sebelum ini kerana saya difitnah kemudian bertindak membuat laporan polis.

“Saya keluar Warisan dengan rela hati kerana tidak lagi setuju dengan hala tuju parti yang tidak konsisten. Jika ada bukti dan laporkan secara rasmi kepada SPRM,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna, mendakwa Adun Warisan yang keluar parti dan menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerana ‘dibeli’ oleh gabungan politik itu.

Berikutan itu, Mohd Shafie mendesak supaya undang-undang anti lompat parti diwujudkan segera di Sabah bagi mengatasi tindakan melompat parti yang sering berlaku di Sabah.

Dalam pada itu, Norazlinah menyifatkan apa yang dilakukan Warisan termasuk cubaan mengambil alih kerajaan negeri melalui insiden yang disebut Langkah Kinabalu sebagai tidak sihat untuk Sabah.

“Polemik politik perlu berakhir agar semua Adun diberikan peluang untuk menjalankan tugas serta memberikan perkhidmatan terbaik di kawasan masing-masing.

“Biar pihak berkuasa menjalankan siasatan secara terperinci. Jangan heret Adun serta parti ke kancah perebutan kuasa,” katanya.

Pada 6 Februari lalu, Norazlinah bersama Adun Banggi, Mohammad Mohamarin dan Adun Tanjung Kapor, Chong Chen Bin mengumumkan keluar Warisan dan menyokong kepemimpinan Hajiji yang menerajui Sabah.

Ketiga-tiga mereka menyatakan mengambil keputusan itu dengan harapan dapat meneruskan khidmat yang baik kepada rakyat di kawasan masing-masing. – Malaysiapost

Komen