Anak Razman tarik balik kenyataan terhadap Anwar, nyah aktif akaun FB
ANAK kepada Pesuruhjaya PAS Perak, Muhammad Rif’aat Razman telah menarik balik kenyataannya mengenai punca sebenar bapanya memohon maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malah, beliau juga dipercayai memadamkan hampir semua hantaran yang dibuat dalam akaun Facebooknya.
Memetik Malaysiakini, peguam Anwar, SN Nair berkata, bekas calon PAS untuk kerusi Parlimen Lenggong dalam PRU15 itu juga berjanji untuk menyahaktifkan akaun media sosialnya itu.
Pada 9 Februari lalu, Razman Zakaria mengemukakan permohonan maaf kepada Anwar ekoran dakwaannya terhadap Perdana Menteri itu dengan aktiviti LGBT.
Kira-kira empat bulan sebelum itu Razman memberitahu dalam sidang media, beliau tidak akan mengemukakan permohonan maaf kepada Anwar.
Ini kerana katanya, nilai saman RM5 juta yang dikemukakan Anwar adalah kecil berbanding “akibah” umat Islam yang didakwa mahu dipertahankan Adun Gunong Semanggol berkenaan.
Bagaimanapun tidak lama kemudian, Rif’aat didapati membela bapanya dengan memberi komen di Facebook mendakwa bapanya itu mengemukakan permohonan maaf demi “menjaga nama baik Perdana Menteri.”
“Kalau nak panjang kes, lagi banyak pekung dibuka. Sebab Anwar ada kes yang sudah disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman.
“Kedua-dua belah pihak setuju kes ditutup, untuk jaga nama Anwar sebagai PM. Selesai,” katanya.
Merujuk laporan Malaysiakini bertarikh 10 Februari lalu, Nair menjelaskan, Ri’faat telah menarik balik kenyataannya dan dimaklumkan melalui peguam Razman.
“Dia telah memadam semua hantaran berkaitan di FB dan juga menyahaktifkan akaun Facebooknya setakat semalam.
“Perdana menteri mengarahkan agar tindakan undang-undang berkaitan perkara itu diselesaikan,” katanya. – Malaysiapost