Anwar selamat tiba di tanah air dari Turkiye

Anwar selamat tiba di tanah air dari Turkiye

DATUK Seri Anwar Ibrahim tiba di tanah air hari ini selepas mengadakan lawatan sehari ke Turkiye bagi menzahirkan komitmen Malaysia membantu rakyat negara itu yang terkesan dengan malapetaka gempa bumi.

Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri serta delegasi mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kira-kira jam 9 pagi tadi.

Ketibaan Anwar bersama Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali disambut Duta Besar Turkiye ke Malaysia, Emir Salim Yuksel.

Dalam lawatan itu, Anwar telah bertemu Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan di Ankara bagi menyampaikan ucapan takziah daripada rakyat Malaysia dan memaklumkan berkenaan bentuk bantuan yang telah diusahakan pihak kerajaan Malaysia.

Perdana Menteri turut menyantuni pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Malaysia yang bertugas membantu mangsa gempa bumi di Nurdagi, Turkiye dan melahirkan rasa bangga atas kecekapan dan tahap profesionalisme pasukan itu.

Pasukan SAR negara terdiri daripada anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Kor Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia.

Semalam, Anwar berkata setakat kelamrin, Malaysia telah berjaya mengumpul dana bantuan bencana di Turkiye sebanyak RM30 juta.

Anwar telah menunjukkan komitmen dan solidariti kepada rakyat negara itu dengan menghantar dua pasukan SMART termasuk dua anjing pengesan (K9) serta membina Hospital Medan Malaysia Tahap Tiga yang dikendalikan Angkatan Tentera Malaysia. – Malaysiapost

Komen