Bicara kes Muhyiddin saman Puad bermula 14 Ogos

Bicara kes Muhyiddin saman Puad bermula 14 Ogos

PERBICARAAN kes saman Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi berhubung kenyataan fitnah perintah kuarantin melibatkan bekas Perdana Menteri itu ditetapkan pada 14 Ogos ini.

Peguam Mohd Puad, Shahrul Fazli Kamarulzaman, berkata tempoh perbicaraan selama lima hari itu diputuskan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Haslinda A Raof pada pengurusan kes secara dalam talian hari ini, lapor Berita Harian.

“Ketika pengurusan kes itu, ada permohonan defendan (Mohd Puad) untuk meminda pernyataan pembelaan berkenaan kandungan 58, manakala plaintif (Muhyiddin) memohon meminda pernyataan tuntutan berkenaan kandungan 61.

“Pendengaran kandungan itu akan didengar pada jam 9 pagi, 11 April ini menerusi aplikasi Zoom,” katanya.

Mohd Puad turut diwakili peguam, Intan Hanis Afiqah Razali manakala Tan Chee Khoon mewakili Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Dalam writ saman difailkan atas kapasiti peribadi, Muhyiddin mendakwa pada 8 Februari tahun lalu, Mohd Puad menerbitkan satu hantaran di Facebook di bawah nama “Dr Puad Zarkashi” bertajuk “Kuarantin pun ada dua darjat?”.

Pengerusi PN mendakwa hantaran itu boleh diakses pengguna internet seluruh dunia dan menerima 1,200 reaksi, 215 komen serta 182 perkongsian.

Hantaran itu merujuk “PM”, singkatan kepada Perdana Menteri dan mengandungi kenyataan tidak benar, tidak wajar, tidak berasas, jahat serta memfitnah beliau.

Muhyiddin mendakwa, kenyataan itu membawa maksud beliau dan rombongannya enggan menjalani kuarantin selama 10 hari selepas pulang dari lawatan rasmi ke Jakarta, Indonesia. – Malaysiapost

Komen