DUN Batang Kali diisytihar kosong

DUN Batang Kali diisytihar kosong

KERUSI Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali diisytiharkan kosong oleh Speaker Dewan Negeri Selangor Ng Suee Lim, hari ini.

Menurut Ng, keputusan itu dibuat berikutan Ahli Dewan Undangan (Adun) Batang Kali, Harumaini Omar gagal menghadirkan diri pada persidangan DUN Selangor selama enam bulan tanpa sebarang notis.

Jelasnya, berdasarkan data pada penyata rasmi dan buku kedatangan Adun Selangor, Harumaini dari Pejuang tidak hadir tanpa kebenaran Speaker pada keseluruhan persidangan DUN dari 23 hingga 30 November 2022; 1 hingga 2 Disember 2022 dan 5 hingga 6 Disember 2022.

Ng berkata, tiada rekod dalam Pejabat DUN Selangor dan pejabat Speaker yang menunjukkan Harumaini memohon kebenaran daripada Speaker untuk tidak hadir pada persidangan pada tarikh berkenaan.

Menurutnya, penyata rasmi dan buku kehadiran menunjukkan kali terakhir Harumaini hadir ke persidangan DUN Selangor ialah pada 27 Julai 2022.

“Memandangkan tempoh enam bulan dikira bermula dari 28 Julai 2022, maka seperti yang diperuntukkan Perkara LXIX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, tempoh ketidakhadiran Yang Berhormat Batang Kali telah melebihi enam bulan.

“Maka pada menjalankan kuasa saya sebagai Speaker DUN Selangor mengikut Perkara LXIX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, saya dengan ini mengisytiharkan kerusi Harumaini kosong berkuat kuasa mulai 28 Jan 2023,” katanya pada sidang media di Shah Alam, hari ini.

Pada PRU14 lalu, Harumaini memenangi kerusi Batang Kali dengan mengetepikan dua calon lain termasuk penyandang Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan.

Harumaini memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 8,315 setelah memperoleh 21,536 undi berbanding 13,221 yang diperolehi Mat Nadzari. -Malaysiapost

Kredit Foto selangorkini

Komen