Gempa di Turkiye dorong solidariti masyarakat dunia

Gempa di Turkiye dorong solidariti masyarakat dunia

MENTERI Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata malapetaka gempa bumi yang melanda Turkiye mendorong solidariti masyarakat dunia untuk membantu mangsa yang terjejas.

Beliau yang mengunjungi kawasan yang dilanda gempa bumi di Nurdagi dan Gazientep di Turkiye berkata, malapetaka yang berlaku itu sangat menginsafkan.

“Ujian yang berlaku bukan sahaja menguji penduduk Turkiye malah turut mendorong masyarakat seluruh dunia turut sama bersatu menghulurkan bantuan,” katanya menerusi Facebook.

Dalam pada itu, Zambry menzahirkan rasa bangga dengan kesungguhan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) negara yang bertugas membantu mangsa gempa bumi di Turkiye.

“Saya juga menyaksikan bagaimana kesungguhan Pasukan SAR Malaysia yang terdiri daripada SMART, ATM, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam.

“Serta pasukan perubatan dan NGO yang bersungguh-sungguh membantu dalam apa jua bidang walaupun dalam keadaan cuaca yang sejuk. Terima kasih wira negara.

“Saya sempat bersama Perdana Menteri bertemu dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan. Saya titipkan rasa kesedihan dan didoakan semoga rakyat Turkiye akan bangkit semula selepas ini,” katanya. – Malaysiapost

Komen