GFSI: Malaysia jatuh ke tangga 41 tahun lalu
KEDUDUKAN Malaysia dalam Indeks Sekuriti Makanan Global (GFSI) jatuh ke tangga ke-41 pada tahun lalu dengan skor 69.9 peratus.
Ia menunjukkan jaminan makanan negara berada pada tahap sederhana selepas turun dua anak tangga berbanding pada 2021.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, prestasi itu boleh disifatkan ‘tidak terlalu buruk’ memandangkan negara dilanda pandemik Covid-19 sebelum ini.
Menurutnya, walaupun berdepan pelbagai kekangan dalam tempoh itu, Malaysia masih berada dalam kategori tidak menerima sebarang bantuan makanan daripada pihak luar seperti agensi bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
“Kita masih lagi dalam keadaan dua tahun hadapi pandemik, tetapi kita masih boleh berdikari,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) yang meminta kerajaan menyatakan langkah meningkatkan semula kedudukan Malaysia dalam GFSI 2022.
Pada 2021, laporan tahunan diterbitkan Unit Perisikan Ekonomi (EIU) itu menunjukkan Singapura dan Malaysia masing-masing berada di tangga ke-15 dan 39.
Mohamad (PH-Kota Raja) berkata, kerajaan masih mempunyai ruang untuk meningkatkan kedudukan dalam GFSI bagi tempoh seterusnya terutama bagi kategori kelestarian dan adaptasi yang diklasifikasikan lemah dengan skor 53.7 peratus.
“Tindakan susulan oleh kerajaan tidak hanya bertujuan mengukuhkan kedudukan negara dalam GFSI tetapi memastikan sistem makanan kekal berdaya tahan dalam pelbagai keadaan,” katanya. – Malaysiapost