Kaitkan Menu Rahmah dengan autisme, Dr Halimah digesa minta maaf

Kaitkan Menu Rahmah dengan autisme, Dr Halimah digesa minta maaf

GARA-GARA mendakwa menu Rahmah boleh menyebabkan kanser serta autisme di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Kapar Dr Halimah Ali digesa memohon maaf. 

Gesaan itu dibuat Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung yang berkata, sebagai seorang doktor perubatan Halimah sepatutnya lebih arif bahawa autisme tidak berpunca daripada pemakanan.

‘Saya terkilan bahawa Halimah  sebagai seorang doktor yang bertauliah boleh mengeluarkan kenyataan yang tidak sepadan dengan kelayakan, kepakarannya. 

‘Seluruh dunia ambil maklum bahawa makanan tidak mengakibatkan autisme, sebaliknya ianya ditentukan oleh DNA dan sewaktu lahir.

“Halimah harus membuktikan secara saintifik bagaimana makanan ada perhubungan dengan autisme, dan jika tidak, wajar  memohon maaf kepada orang awam atas kenyataan yang mengelirukan rakyat supaya institusi Parlimen yang suci ini tidak dijadikan bahan ketawa masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, dalam ucapan perbahasannya di Dewan Rakyat, Halimah menyuarakan kebimbangan penyediaan makanan yang berharga rendah untuk menu Rahmah tidak sepatutnya sehingga menyebabkan golongan kurang berkemampuan mendapat hidangan yang bermutu rendah.

Wakil rakyat dari PAS itu berkata, beliau bimbang dengan isu keterjaminan makanan yang terdesak sekarang dan didakwanya membingungkan kerajaan.

“Kita tak mahu shortcut (jalan pintas), kita tak mahu kompromi daripada bekalan makanan yang low quality.

“Saya tidak ada masalah dengan istilah rahmah atau apa tetapi jangan sampai rakyat marhaen B40 diberikan bekalan makanan yang low quality dan mungkin juga menyebabkan mereka terdedah kepada kanser, autoimmune disease, kepada autisme dan sebagainya,” katanya. 

Pada masa sama, Lee menggesa Halimah membuktikan menu Rahmah dibekalkan dengan mutu yang rendah ataupun low quality. 

“Saya yakin Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Hidup (KPDN) tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya perkara ini berlaku

“Tapi jangan bersangka buruk atas inisiatif kerajaan yang baik, dan cuba mencemarkan imej program kerajaan tanpa fakta dan bukti yang asas,” katanya. -Malaysiapost

Komen