Kanak-kanak akan dikeluarkan dari depoh tahanan Imigresen

Kanak-kanak akan dikeluarkan dari depoh tahanan Imigresen

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) dalam proses untuk mengeluarkan kanak-kanak yang berada dalam depoh tahanan Imigresen di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau sedang berbincang dengan beberapa badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang khusus dalam penjagaan kanak-kanak.

“Saya dalam proses sedikit masa terdekat ini untuk mengeluarkan kanak-kanak itu daripada depoh tahanan tersebut,” katanya pada Program Sesi Libat Urus Bersama Pengamal Media, malam tadi.

Menurutnya, pihaknya serius menguruskan perkara itu selepas isu berkenaan mendapat perhatian aktivis hak asasi manusia dan badan antarabangsa.

Sementara itu, Saifuddin Nasution memaklumkan seorang kanak-kanak dari Bangladesh yang ditemui dalam kontena kapal akan dihantar ke negara asal.

“Minggu depan kita uruskan tiket pulang dan perkara ini juga telah selesai dimaklumkan kepada Menteri Dalam Negeri Bangladesh ketika lawatan kerja saya ke negara tersebut,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata, kerajaan berusaha mengeluarkan Malaysia daripada senarai Tier Tiga oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat membabitkan pemerdagangan manusia.

Untuk tujuan itu, katanya, usaha yang dipertanggungjawabkan kepada beberapa pegawai kanan kementerian sudah digerakkan, diketuai Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan), Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

“Hari ini saya teruskan libat urus dengan Duta Amerika Syarikat ke Malaysia dan memaklumkan inisiatif yang sudah kita ambil, selain melihat amalan baik di beberapa negara,” katanya. – Malaysiapost

Komen