Khairuddin dilantik Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama Umno

Khairuddin dilantik Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama Umno

BEKAS Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dilantik sebagai Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama Umno yang ditubuhkan bulan lalu.

Bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus itu diberi kepercayaan berdasarkan pengalamannya termasuk pernah menjadi pemimpin kanan dalam badan penting.

“Khairuddin mempunyai pengalaman yang cukup luas khususnya ketika bersama dengan PAS,” lapor Malaysiakini yang memetik sumber.

Menurutnya, turut dilantik mengisi jawatan penting dalam Majlis Ulama Umno ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Jamil Khir dipilih sebagai Timbalan Pengerusi badan berkenaan.

“Khairuddin dilantik sebagai Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama Umno manakala Jamil Khir menjadi Timbalan Pengerusi,” katanya.

Majlis Ulama PAS ditubuhkan selepas Perhimpunan Agung Umno 2022 sebagai salah satu pembaharuan dibuat parti itu selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-15.

Bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Dusuki Ahmad dilantik sebagai Pengerusi majlis itu.

Pada 17 Januari lalu, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Mohd Khairuddin dilantik menyertai Majlis Ulama Umno selepas mengadakan pertemuan dengan Dusuki.

Sementara itu, Mohd Khairuddin enggan mengulas dan meminta menunggu pengumuman yang akan dibuat pada mesyuarat yang berlangsung 27 Februari ini.

Katanya, mesyuarat yang julung kali diadakan itu akan memperincikan struktur Majlis Ulama Umno.

“Mesyurat pertama Majlis Ulama (Umno) 27 Februari nanti akan diumumkan struktur majlis,” katanya. – Malaysiapost

Komen