Kos perundangan tuntutan Sulu cecah RM31 juta – Azalina
KERAJAAN telah membelanjakan RM31 juta bagi kos perundangan terhadap tuntutan Kesultanan Sulu terhadap Malaysia bermula 20 November 2019 hingga 20 Januari lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kos itu termasuk perkhidmatan peguam antarabangsa, prosiding mahkamah, terjemahan, penyelidikan sejarah dan perundangan.
“Secara khususnya fi guaman dan bayaran sahaja sebanyak RM36,000 pada 2019, RM167,000 (2020), RM8.2 juta (2021), RM13.5 juta (2022) dan RM5.4 juta pada 2023.
“Ia membabitkan pengendalian kes mahkamah di empat buah negara iaitu Sepanyol, Perancis, Luxembourg dan Belanda,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang meminta Perdana Menteri menyatakan kos guaman yang dibelanjakan bagi menghadapi tuntutan daripada waris kesultanan Sulu terhadap Malaysia.
Mengulas lanjut, Azalina turut menjelaskan, keputusan permohonan rayuan oleh Malaysia terhadap perintah Mahkamah Perancis bertarikh 29 September lalu dijangka dikeluarkan pada Jun ini.
Januari lalu, Azalina dalam kenyataannya memaklumkan bahawa Malaysia memperoleh kemenangan penting terhadap individu yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu selepas Mahkamah di Luxembourg pada 24 Januari lalu mengetepikan perintah penahanan yang dipohon oleh pewaris berkenaan.
Waris kesultanan Sulu sebelum ini dilapor menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia melalui satu prosiding timbang tara antarabangsa di Madrid, Sepanyol
Proses timbang tara itu dimulakan sebagai tindak balas kepada tindakan Malaysia memotong pembayaran pajakan tahunan sebanyak RM5,300 kepada kesultanan Sulu pada 2013. – Malaysiapost