‘Muhyiddin hanya tunjuk berani’ – Puad

‘Muhyiddin hanya tunjuk berani’ – Puad

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa nada ‘keras’ yang ditunjukkan Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat semalam, adalah bagi menutup kebimbangannya.

Mohd Puad berkata, nada Muhyiddin semalam penuh emosi dan kemarahan berikutan tindakan Anwar kerap membangkitkan kesalahan tata kelola kewangan ketika pentadbirannya.

“Kenyataan Muhyiddin semasa berbahas di Parlimen itu memang keras. Nada orang marah dan beremosi. Muhyiddin tunjuk berani walaupun bimbang dirinya mungkin didakwa.

“’Kamu fikir boleh bertahan selama-lamanya’ soal Muhyiddin. Dia marah kerana Anwar kerap bangkit kesalahan tata kelola kewangan pentadbirannya,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Mohd Puad berkata, Muhyiddin menyangkakan beliau Perdana Menteri paling popular sedangkan banyak kerosakan dilakukannya ketika mentadbir negara.

“Muhyiddin lupa dia yang cuba bertahan lama sampai minta darurat dan gantung Parlimen. Dia cuba sambung tempoh darurat tetapi ditolak oleh Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja Raja.

“Muhyiddin ingat dia PM paling popular. Dijaja ke sana ke mari. Akhirnya boleh bertahan 17 bulan sahaja. Sempat buat banyak kerosakan,” katanya.

Semalam, Muhyiddin memberi amaran bahawa tindakan Kerajaan Perpaduan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ‘mencipta’ pelbagai tuduhan terhadap Perikatan Nasional (PN) berisiko untuk memakan diri.

Pengerusi PN itu berkata, impak tindakan itu akan mengundang tindak balas melalui gelombang PN yang sudah terbentuk ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan kemuncaknya akan dilihat melalui keputusan enam pilihan raya negeri (PRN) yang bakal dihadapi tidak lama lagi.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri mengingatkan Kerajaan Perpaduan supaya berhenti bermain daripada politik dan menggerakkan tindakan jahat, sebaliknya menumpukan kepada kerja untuk membantu rakyat. – Malaysiapost

Komen