Pelajar, OKU tak perlu bayar tambang kereta api

Pelajar, OKU tak perlu bayar tambang kereta api

MULAI semalam, orang kelainan upaya (OKU) dan pelajar sekolah boleh menggunakan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) secara percuma.

Inisiatif pas perjalanan ‘MyRailLife’ tanpa had secara percuma itu boleh digunakan bagi perkhidmatan KTM Komuter sektor Lembah Klang, Utara dan Perkhidmatan Shuttle Timuran.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kemudahan itu boleh dinikmati pelajar sekolah dari Tahun 1 hingga Tingkatan 6 dan golongan OKU berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, selain memanfaatkan pelajar sekolah dan OKU, pas percuma itu dapat meringankan beban kewangan ibu bapa selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengawal kos sara hidup.

“Bagi KTM komuter sektor Lembah Klang ia terdiri laluan Pulau Sebang-Batu Caves-Pulau Sebang dan laluan Pelabuhan Klang-Tanjung Malim-Pelabuhan Klang.

“Perkhidmatan komuter sektor utara laluannya adalah Padang Rengas -Butterworth-Padang Rengas dan laluan Butterworth-Padang Besar-Butterworth.

“Manakala perkhidmatan tren KTM shuttle timuran ialah bagi sektor laluan Gemas-Tumpat-Gemas,” katanya pada sidang media Pelancaran Pas MyRailLife hari ini.

Loke berkata, pelajar sekolah dan OKU boleh mula mendaftar ‘MyRailLife’ melalui aplikasi KTM Mobile (KITS), laman sesawang KTMB atau di kaunter KTMB berhampiran.

“Mereka boleh mengemukakan salinan kad pengenalan atau sijil lahir untuk permohonan pas percuma itu,” katanya.

Dalam masa sama, katanya, pihaknya juga sedang meneliti untuk memberikan pas percuma kepada OKU dan pelajar bagi perkhidmatan awam selain kereta api. – Malaysiapost

Kredit Foto FMT

Komen