Pengalaman PRU14 bantu Bersatu berdepan PRN di 6 negeri – Faizal

Pengalaman PRU14 bantu Bersatu berdepan PRN di 6 negeri – Faizal

PENGALAMAN berdepan kekangan dana pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan membantu Bersatu berdepan cabaran dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN), kata Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Timbalan Presiden Bersatu itu bagaimanapun tetap yakin Perikatan Nasional (PN) mampu memenangi banyak kerusi termasuk di Selangor.

“Akaun Bersatu telah lebih sebulan dibeku, kita akui ia memberi kesan kepada parti terutama untuk membayar gaji kakitangan, sekarang kita tidak boleh buat apa-apa. Malah menyukarkan kami bergerak dengan lebih efektif dalam PRN akan datang.

“Namun pengajaran PRU14 telah memberi banyak pengalaman kepada kita untuk menggunakan kekuatan sedia ada. Bayangkan pada itu, kita cat sendiri bendera Bersatu, tetapi kita mampu menang dan bentuk kerajaan.

“Tidak mustahil dengan momentum sokongan rakyat berterusan dalam PRU15, insya-Allah kita boleh menguasai banyak kerusi khususnya di Selangor,” katanya memetik laporan Utusan Online.

Beliau mengulas dana yang terhad dihadapi Bersatu susulan akaun parti itu dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata penjelasan Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat semalam yang menegaskan Presiden Bersatu itu tidak terbabit rasuah, adalah suatu mesej kepada umum bahawa segala tuduhan adalah fitnah dan pembohongan.

Katanya, Muhyiddin juga menggunakan lafaz ‘Wallahi’ bahawa beliau tidak pernah menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri kelapan untuk kepentingan keluarganya. – Malaysiapost

Komen