PM cadang beri pingat, elaun khas kepada petugas SMART di Turkiye

PM cadang beri pingat, elaun khas kepada petugas SMART di Turkiye

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan agar petugas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang terlibat dalam misi di Tukriye diberi pingat dan elaun khas.

Anwar berkata, beliau juga sudah memberi persetujuan agar pasukan SMART yang sepatutnya berada di Turkiye selama dua minggu melanjutkan tempoh perkhidmatan mereka atas permintaan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.

“Saya terkesan tatkala tidak ada seorang pun (anggota SMART) yang mengeluh ditugaskan di sana dalam keadaan cuaca yang melampau sejuk serta terdedah kepada ancaman bahaya.

“Ini yang mendorong saya untuk memberi penerangan di Dewan Rakyat agar umum tahu mereka perlu diberi penghargaan,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu, Anwar berkata, beliau terus ke Parlimen sejurus tiba dari Turkiye untuk sesi Penerangan Menteri-Menteri di bawah Peraturan 14 (1)(i) berhubung lawatan ke negara tersebut.

“Saya sampaikan ucapan penghargaan Kerajaan Turkiye kepada Yang di-Pertuan Agong, kerajaan dan Parlimen Malaysia atas bantuan, ucapan takziah berikutan bencana gempa bumi di Nurdagi, Gaziantep.

“Kerajaan Turkiye turut memuji kecekapan pasukan SMART Malaysia dalam bantu operasi menyelamat mangsa gempa bumi.

“Saya juga maklumkan bahawa dana bantuan kemanusiaan Malaysia kepada mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria setakat ini berjumlah RM50 juta,” katanya.

Perdana Menteri tiba di tanah air hari ini selepas mengadakan lawatan sehari ke Turkiye bagi menzahirkan komitmen Malaysia membantu rakyat Turkiye yang terkesan dengan malapetaka gempa bumi.

Dalam lawatan itu, Anwar telah bertemu Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan di Ankara bagi menyampaikan ucapan takziah daripada rakyat Malaysia dan memaklumkan berkenaan bentuk bantuan yang telah diusahakan pihak kerajaan Malaysia.

Perdana Menteri turut menyantuni pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Malaysia yang bertugas membantu mangsa gempa bumi di Nurdagi, Turkiye dan melahirkan rasa bangga atas kecekapan dan tahap profesionalisme pasukan itu. – Malaysiapost

Komen