PM harap lawatan ke Turkiye kukuh hubungan kedua-dua negara
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap lawatan singkat beliau ke Turkiye akan mengukuhkan lagi hubungan kedua-dua negara.
Perdana Menteri yang ke Turkiye untuk bertemu Presiden, Recep Tayyip Erdogan semalam, mengakhiri lawatan berkenaan dan dilapor pulang ke tanah air malam tadi.
“Menamatkan lawatan ke Turkiye bersama delegasi Malaysia. Walaupun singkat namun lawatan ini cukup bermakna buat Malaysia-Turkiye.
“Semoga hubungan akrab antara kedua-dua negara terus berkembang,” katanya menerusi Facebook.
Semalam, Anwar menzahirkan solidariti Malaysia sebagai negara sahabat Turkiye ketika bertemu Erdogan.

Perdana Menteri berkata, Malaysia adalah negara sahabat ketika saat getir dan sukar, serta memberi komitmen yang tidak berbelah bahagi terutamanya dalam membantu warga Turkiye yang terkesan dengan malapetaka gempa.
Malah, Anwar meluangkan masa kira-kira 40 minit melawat dan mendengar taklimat operasi pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Malaysia yang sudah berkampung di sana bagi menyertai misi menyelamat pelbagai negara sejak minggu lalu. – Malaysiapost