Sanusi pula saran Mahfuz tanding di DUN Derga, Kota Darul Aman.
DEWAN Undangan Negeri (DUN) Derga atau Kota Darul Aman lebih sesuai ditandingi Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar yang memang memerlukan sokongan pengundi Cina.
Memulangkan paku buah keras kepada Mahfuz, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beliau tidak perlu berpindah dari DUN Jeneri untuk bertanding di dua DUN berkenaan kerana Mahfuz yang juga Naib Presiden Amanah lebih memerlukannya.
Muhammad Sanusi menjelaskan, tidak masuk akal untuk beliau bertukar angin ke DUN lain sedangkan DUN Jeneri yang disandangnya adalah kawasan beliau membesar.
“Saya sudah ada DUN saya (Jeneri), saya selesa di situ, rumah dan kampung (Sungai Pau) saya di situ.
“Dia (Mahfuz) tak tau kampung mana, adik beradik dok mana, kenapa dia suruh saya pi (bertanding) di situ.
“Cadangan dia biar munasabah dan masuk akal.. bagi dia la bertanding situ sebab dia sesuai, akhir-akhir ini pun dia bergantung kepada undi Cina untuk menang…kalau Cina tak sokong dia pun tak menang,” katanya memetik Harian Metro
Terdahulu, media melaporkan Muhammad Sanusi dicabar Mahfuz bertanding di DUN Derga atau Kota Darul Aman dalam PRN akan datang bagi ‘menyelamatkan’ orang Melayu di kawasan itu.
Menurut Mahfuz, Muhammad Sanusi perlu berani meninggalkan DUN Jeneri untuk membuktikan dirinya Menteri Besar yang memiliki sokongan menyeluruh rakyat Kedah.
Muhammad Sanusi turut menyindir Mahfuz bahawa pengundi Cina di DUN berkenaan akan memastikannya menjadi wakil rakyat semula walaupun pengundi Melayu pasti tidak mengundinya pada PRN nanti.
“Pengundi Melayu tak mahu dia dah, kalah (PRU15) majoriti 31,000 (undi) bos… nak kampoi macam mana tu,” katanya.
Pada PRU15 lalu, Mahfuz gagal mempertahan kerusi Parlimen Pokok Sena yang disandangnya selama empat penggal apabila kecundang di tangan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Ahmad Yahaya.
Ahmad yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah memperoleh 52,275 undi dengan majoriti 31,751 sekali gus menewaskan Mahfuz yang mendapat 20,524 undi. – Malaysiapost