Timbalan Speaker tegur Ahli Parlimen jaga adab, elak Dewan Rakyat jadi ‘zoo’

Timbalan Speaker tegur Ahli Parlimen jaga adab, elak Dewan Rakyat jadi ‘zoo’

AHLI Parlimen diingatkan agar sentiasa menjaga kelakuan dan etika bagi mengelak persepsi negatif berterusan masyarakat.

Teguran itu dibuat Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Noor kerana tidak mahu persidangan Dewan Rakyat tidak ubah seperti sebuah ‘zoo’.

Malah, beliau berkongsi pengalaman ketika ke sebuah restoran semalam, apabila terdapat individu yang melabelkan persidangan Parlimen sebagai ‘zoo’.

“Ingin saya ingatkan kepada adab semasa dalam dewan, saya ingatkan juga we are live (bersiaran langsung). Semalam saya ke kedai mamak, ini berlaku, mereka mengenali saya (dan bertanya) YB, bagaimana zoo? Saya terkejut.

“Inilah tanggapan masyarakat di luar sana. Jadi saya ingatkan, berpeganglah pada etika dan budi pekerti,” katanya selepas sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, Ramli turut menegur barisan Ahli Parlimen yang mengadakan ‘mesyuarat kecil’ ketika sidang Dewan Rakyat berlangsung.

Katanya, mengikut Perkara 41 (e) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, ketika seseorang ahli itu bercakap, semua ahli yang lain hendaklah diam dan tidak boleh mengganggu dengan cara kurang beradab. – Malaysiapost

Komen