Zahid jamin selesai segera agihan wang ihsan banjir

Zahid jamin selesai segera agihan wang ihsan banjir

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan memantau dan menyelesaikan segera isu pemberian wang ihsan yang didakwa masih belum sampai kepada mangsa banjir.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara turut memberi jaminan penyaluran bantuan wang ihsan kepada mangsa banjir dilaksanakan secara adil tanpa mengira politik.

Menurutnya, beliau sudah mengeluarkan arahan berhubung penyelarasan pemberian bantuan wang ihsan bagi memastikan mangsa banjir menerima bantuan sebelum pulang ke rumah masing-masing.

“Berhubung wang ihsan, saya akan pantau sebab janji kita ialah mangsa banjir harus dapat sebelum mereka pulang ke rumah masing-masing.

“Penyelarasan sudah dilakukan dengan pihak jawatankuasa bencana peringkat daerah. Mungkin belum dapat peruntukan, tapi saya akan pantau.

“Arahan sudah dikeluarkan kerana kita sudah pun mengenal pasti keluarga dan kawasan yang kerap dilanda banjir, jadi peruntukan sudah ada untuk mereka,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) yang bertanyakan mengenai bantuan wang ihsan RM1,000 yang masih belum sampai kepada mangsa banjir di kawasannya. – Malaysiapost

Komen