Abim bidas Dr Halimah kaitkan Menu Rahmah dengan penyakit
ANGKATAN Belia Islam Malaysia (Abim) menyelar kenyataan Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali yang mengaitkan Menu Rahmah dengan risiko penyakit autisme dan kanser.
Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, perkara itu amat mendukacitakan kerana seseorang Ahli Parlimen perlu mengemukakan penyelesaian yang boleh menambah baik kehidupan rakyat.
“Beliau tidak seharusnya memperlekeh sebarang inisiatif baik yang mendapat perhatian rakyat seperti Menu Rahmah dengan sentimen untuk mendapatkan populariti politik semata-mata,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Faisal berkata, sebagai wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) yang ditampilkan sebagai Kabinet bayangan jemaah menteri Kerajaan Perpaduan mereka perlu berperanan memberikan alternafif serta menjuarai isu rakyat secara ilmiah.
“Ini adalah fungsi dan peranan Kabinet bayangan jika PN ingin membuktikan mereka bersedia menjadi kerajaan,” katanya.
Justeru, katanya, PN tidak seharusnya ambil pendekatan mempertikai secara semberono tanpa kemukakan inisiatif lebih baik yang boleh dilaksanakan.
Sebelum ini, Dr Halimah dilapor berkata, penyediaan makanan yang berharga rendah tidak sepatutnya sehingga menyebabkan golongan kurang berkemampuan mendapat hidangan yang bermutu rendah.
Beliau tidak mahu rakyat marhaen B40 diberikan bekalan makanan kualiti rendah dan mungkin juga menyebabkan mereka terdedah kepada kanser dan penyakit autisme. – Malaysiapost