Adun, Exco Kelantan bakal naik gaji hingga RM5,000

Adun, Exco Kelantan bakal naik gaji hingga RM5,000

SIDANG Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini sebulat suara meluluskan kenaikan gaji Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Exco sehingga RM5,000 setiap seorang.

EXCO dan Adun Kelantan bakal menikmati kenaikan gaji pokok di antara RM3,000 hingga RM5,000 sebulan.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata kenaikan itu wajar memandangkan wujud perbezaan gaji yang agak ketara dengan rakan sejawat di negeri lain.

Katanya, pada Persidangan Belanjawan Kelantan 2021 kali ini, kerajaan negeri dijangka membentangkan rang undang-undang meminda Enakmen (Saraan) Anggota-Anggota Pentadbiran dan Ahli-Ahli Dewan Negeri 1980, bagi membolehkan kenaikan dan penyelarasan gaji itu diluluskan.

“Jadi, untuk merapatkan perbezaan ini tidak semestinya sama tetapi biarlah tidak ada perbezaan yang besar antara kita dengan negeri lain. Sebab itu ada cadangan supaya kita selaraskan.

“Ini berkaitan dengan keadaan semasa sebab tanggungjawab wakil rakyat semakin berat.

Dalam keadaan pada hari ini, sekiranya ada kenaikan sekali pun, ia akan turut dinikmati oleh rakyat,” katanya kepada pemberita di Kelantan, hari ini.

Mohd Amar berkata, tanggungjawab wakil rakyat kini semakin besar yang diibaratkan sebagai pegawai kebajikan kerana semakin ramai yang memerlukan perhatian.

“Siapa yang menjadi wakil rakyat dia akan tahu. Orang datang rumah, jadi kena ada duit. Kalau tidak ada duit, wakil rakyat nak tolong orang macam mana,” katanya. – Malaysiapost

Komen