Anak Najib sah tanding Naib Ketua Pemuda Umno
ANAK bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Mohd Nazifuddin mengesahkan bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda Umno pada pemilihan parti, bulan depan.
Mohd Nazifuddin yang juga ahli Pemuda Umno Bahagian Langkawi berkata, beliau akan menghantar borang pencalonan ke Ibu Pejabat Umno di Menara Dato’ Onn, hari ini.
“Selepas solat Jumaat, saya menziarahi makam nenda saya dan seterusnya saya akan ke Menara Dato’ Onn bagi membuat serahan borang pemilihan rasmi saya sebagai Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia.
“InsyaAllah saya menawarkan diri untuk menggalas tanggungjawab. Semoga Allah permudahkan urusan perjuangan kita semua,” katanya menerusi Facebook.
Sebelum ini, Mohd Nazifuddin mengumumkan menawarkan diri bertanding jawatan itu bagi menarik golongan muda bersama-sama memperkukuhkan wadah perjuangan berkenaan.
“Sebagai seorang ahli dalam persatuan sukan, saya merasakan ianya satu kelebihan untuk mendampingi golongan muda seterusnya mendorong mereka bersama kita (Umno).
“Saya turut ingin menyumbangkan kudrat dalam memartabatkan kegiatan sukan, mencungkil bakat dan kemahiran, meninggikan taraf ekonomi serta kepelbagaian aktiviti berfaedah untuk golongan muda,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Pemuda Umno Johor, Mohd Hairi Mad Shah turut menawarkan diri bertanding jawatan sama. – Malaysiapost