ChatGPT tidak sesuai jadi rujukan agama
APLIKASI ChatGPT tidak sesuai untuk dijadikan panduan rujukan pelbagai isu yang melibatkan hukum agama, kata Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.
Bekas Menteri Agama itu berkata, umat Islam di negara ini dinasihatkan agar tidak menggunakan aplikasi tersebut kerana menyifatkan jawapan diberikan sistem tersebut adalah salah.
“Berdasarkan penelitian saya mendapati buat masa ini, ia kurang sesuai sebagai rujukan dalam bidang agama Islam.
“Selain itu, sistem kecerdasan buatan (AI) di aplikasi tersebut juga ada banyak masalah. Benar kita boleh mengajar AI jika ia menjawab dengan jawapan salah, tetapi antara elemen utama tiada pada ChatGPT adalah kemampuan menilai isu yang disoal,” katanya seperti dilaporkan Kosmo Online.
ChatGPT atau Chat Generative Pre-Trained Transformer merupakan bot sembang yang diperkenalkan firma OpenAI pada akhir tahun lepas oleh Sam Altman di Amerika Syarikat.
Ia berasaskan teras model ‘chatbot’ untuk cuba meniru gaya perbualan normal manusia termasuk menulis dan menjawab soalan malah menjadi fenomena seluruh dunia ketika ini.
Bagaimanapun, sistem itu turut dikritik oleh pelbagai pihak akademik kerana dikesan memberi jawapan dengan ketepatan fakta yang tidak sekata dan boleh diragui kredibiliti.
Meskipun begitu, beliau berpandangan ChatGPT hanya sesuai sebagai panduan umum tetapi tidak semestinya tepat dalam kalangan mereka yang telah ada asas baik subjek agama.
“Namun ia bukanlah ranah atau bidang lapangan ilmu yang bersesuaian untuk diteroka oleh masyarakat awam yang menginginkan jawapan tuntas bagi persoalan agama,” katanya. -Malaysiapost