Dira umum tanding Ketua Puteri
AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Khaidirah Abu Zahar mengesahkan akan bertanding sebagai calon Ketua Puteri, Mac ini.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Dira berkata, borang pencalonannya akan dihantar hari ini.
Ahli Dewan Undangan (Adun) Rim itu memaklumkan sebelum ini pihaknya banyak mendiamkan diri ketika ditanya mengenai pencalonan berkenaan kerana mahu menyelesaikan perkara itu dengan pengurusan terlebih dahulu.
“Saya sudah memaklumkan hasrat bertanding ini kepada Ketua Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan, Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) serta Pengerusi Perhubungan Negeri (Datuk Seri Ab Rauf Yusoh).
“Alhamulillah, pemakluman kepada pihak pengurusan sudah selesai dan berjalan dengan lancar.
“Jadi, saya hanya nak maklumkan. Dengan semangat demokrasi dalam parti ini, saya Dira Abu Zahar tawarkan diri untuk bertanding sebagai Ketua Puteri Umno,” katanya.
Ditanya berapa jumlah sebenar pencalonan bagi merebut jawatan itu, Dira berkata, pihaknya tidak mengetahui secara lanjut.
“Tetapi mengikut makluman oleh Presiden tadi, beliau kata ada empat calon tetapi saya tidak pasti jumlah itu sudah termasuk saya atau belum,” katanya.
Dira berkata, sesiapa sahaja yang menawarkan diri untuk bertanding dalam prmilihan parti itu mestilah mempunyai nilai tambah dan mampu membawa parti berkenaan jauh lebih baik.
“Pemilihan ini bukan alasan untuk pastikan perubahan atau nak cari pemimpin baharu sahaja. Tetapi, mereka yang bakal tawarkan diri ini mestilah mampu membawa parti ini ke tahap yang lebih baik,” katanya.
Terdahulu, Zahida tidak mempertahan jawatan kerana beliau sudah melepasi had usia ditetapkan.
Beberapa nama sudah menyatakan hasrat bertanding jawatan itu, antaranya Penolong Setiausaha Puteri Umno, Nurul Hazwani Haslan; Exco Puteri Umno, Fadhwa Anuar dan Ketua Puteri Umno Wilayah Persekutuan, Dr Maslina Harun. – Malaysiapost