Hamzah buat dua kesilapan sebagai Ketua Pembangkang – Kit Siang
VETERAN DAP, Lim Kit Siang menyatakan Datuk Seri Hamzah Zainuddin membuat dua kesilapan sebagai Ketua Pembangkang pada hari pertama pembukaan sidang Dewan Rakyat ke-16, baru -baru ini.
Beliau berkata, Hamzah gagal menjadi menjadi penyemak imbang semasa Waktu Pertanyaan Perdana Menteri ketika sidang berlangsung.
Katanya, Ketua Pembangkang itu juga gagal melepasi ujian Yang di-Pertuan Agong seperti dalam untuk menjamin kestabilan politik dalam tempoh lima tahun
“Hamzah telah lewat hadir ke Waktu Pertanyaan Perdana Menteri dan dia tidak bertanyakan satu pun soalan tambahan.
“Kelewatan Hamzah untuk menyertai Waktu Pertanyaan Perdana Menteri ini mengesahkan kenyataan bahawa dia adalah seorang Ketua Pembangkang yang lemah.
“Ketua Pembangkang yang tidak mampu menetapkan tona kumpulan pembangkang di Parlimen kerana kuasa sebenarnya berada di tangan orang yang lain yang tidak berpegang kepada tanggungjawab mereka di Parlimen dengan serius,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Kit Siang berkata, Ahli-ahli Parlimen dari semua parti perlu memandang serius pendedahan dari Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor, yang mengatakan rakyat melihat Parlimen seperti sebuah zoo.
Katanya, Ramli mendedahkan orang awam yang mengenalinya menyamakan sidang Parlimen seperti situasi di ‘zoo’.
Beliau berkata, Ahli-ahli Parlimen perlu memahami mesej yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong pada Isnin lalu untuk membuka hati menerima keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ujarnya, Yang di-Pertuan Agong Kerajaan Perpaduan yang dibentuk bertujuan menjamin kestabilan politik dan menjana pertumbuhan ekonomi, menyelesaikan isu-isu yang dihadapi rakyat.
“Adakah Ahli-ahli Parlimen dari semua parti politik akan memberikan respons terhadap seruan baginda untuk menghentikan ‘kemelut politik yang membelenggu negara hampir empat tahun lamanya’?
“Negara kita bakal menerima jawapan kepada persoalan ini pada hari Khamis minggu hadapan apabila usul Menjunjung Titah Diraja ini selesai,” katanya. – Malaysiapost