Harumaini boleh ke mahkamah jika rasa teraniaya – MB Selangor

Harumaini boleh ke mahkamah jika rasa teraniaya – MB Selangor

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Batang Kali, Harumaini Omar boleh mengambil tindakan jika berasa teraniaya dengan keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Ng Suee Lim yang mengumumkan kekosongan kerusi DUN Batang Kali.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan Suee Lim dibuat selepas meneliti Enakmen Undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959 dan segala peraturan ditetapkan.

“Saya sudah bertanyakan kepada Speaker DUN, beliau beranggapan wakil tersebut (Harumaini) tidak memaklumkan secara munasabah ketidakhadiran beliau selama enam bulan berturut-turut.

“Perkara tersebut ada dalam enakmen dan peraturan dewan. Jadi kita ikut undang-undang dan peraturan,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Ditanya sama ada Harumaini boleh mengemukakan rayuan, beliau menjelaskan keputusan tersebut adalah muktamad, namun wakil rakyat itu menggunakan saluran mahkamah bagi mempertahankan jawatan tersebut.

“Kita cuma menjalankan tugas, beliau gagal memaklumkan secara munasabah. Jika sakit perlu kemuka MC (cuti sakit), jika ada tugasan luar negara juga perlu bagi bukti.

“Itu pun masih perlu hadir (Sidang DUN) kerana itu merupakan satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan kerana berfungsi sebagai penggubal undang-undang negeri seperti dibahaskan di DUN Selangor,” katanya.

Semalam, Dewan Negeri (DUN) Selangor mengisytiharkan kekosongan kerusi Batang Kali selepas Harumaini gagal hadir persidangan dewan melebihi enam bulan, iaitu sejak 28 Julai tahun lalu. – Malaysiapost

Komen