Harumaini buat permohonan tarik balik pengisytiharan pengosongan kerusi Batang Kali

Harumaini buat permohonan tarik balik pengisytiharan pengosongan kerusi Batang Kali

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Batang Kali, Harumaini Omar hari ini mengemukakan permohonan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Ng Suee Lim untuk menarik balik pengisytiharan pengosongan kerusi Batang Kali dengan serta merta dalam tempoh tiga hari

Harumaini berkata, sekiranya tiada jawapan dan maklum balas positif diterima daripada Suee Lim maka beliau akan mempertimbangkan keputusan perundangan yang sewajarnya.

Katanya, sehingga kini, beliau belum menerima apa-apa pemakluman rasmi melalui notis bertulis daripada pihak Suee Lim berhubung pengisytiharan tersebut.

Ujarnya lagi, terdapat kesilapan daripada pihak Suee Lim dari segi fakta pengiraan tempoh enam bulan bermula 27 Julai 2022 yang merupakan tarikh sidang Dewan Negeri yang dihadiri beliau di dalam Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Ke-14.

“Tiada apa-apa sidang Dewan Negeri berlangsung pada September 2022 dan Oktober 2022.

“Berdasarkan lunas undang-undang, ketidakhadiran saya tanpa kebenaran hanya berlaku pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Ke-14 iaitu persidangan yang bermula pada 23 November 2022.

“Oleh itu, apa-apa pengiraan tempoh enam bulan bagi maksud Perkara LXIX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 hanya bermula dari 23 November 2022 dan bukannya pada 27 Julai 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerusi DUN Batang Kali diisytiharkan kosong oleh Speaker Dewan Negeri Selangor semalam.

Menurut Suee Lim, keputusan itu dibuat berikutan Adun Batang Kali, Harumaini Omar gagal menghadirkan diri pada persidangan DUN Selangor selama enam bulan tanpa sebarang notis.

Jelasnya, berdasarkan data pada penyata rasmi dan buku kedatangan Adun Selangor, Harumaini dari Pejuang tidak hadir tanpa kebenaran Speaker pada keseluruhan persidangan DUN dari 23 hingga 30 November 2022; 1 hingga 2 Disember 2022 dan 5 hingga 6 Disember 2022.

Sementara itu, Harumaini menegaskan telah memberikan khidmat bakti kepada masyarakat setempat melalui Pusat Khidmat sejak dilantik sebagai Adun Batang Kali pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Katanya, demikian itu adalah tidak wajar beliau dihalang menghadiri Mesyuarat Pertama, Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor ke-14 yang dijadualkan bermula 13 Mac ini.

“Saya menegaskan bahawa Yang Berhormat Speaker hendaklah senantiasa memelihara keluhuran undang-undang tanpa dipengaruhi agenda politik kepartian di dalam membuat keputusan.

“Saya dengan ini merizabkan segala hak saya bagi mencabar sebarang tindakan dan keputusan Yang Berhormat Speaker yang dibuat atas kekhilafan tafsiran peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor,” katanya. – Malaysiapost

Komen