Hayati peristiwa agung Israk Mikraj

Hayati peristiwa agung Israk Mikraj

BERTAQWALAH kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Teks khutbah Jumaat bertajuk ‘Peristiwa isra’ dan mi’raj’ terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), hari ini mengajak umat Islam terus istiqamah mengimarahkan masjid, surau dan majlis-majlis ilmu, serta saling berpesan antara satu sama lain.

Ia dalam usaha menyeru melakukan kebaikan dan memberi peringatan dalam mencegah sebarang bentuk kemungkaran.

Kita telah pun berada di penghujung Bulan Rejab dan lebih kurang 33 hari sahaja lagi akan tibanya Ramadhan al-Mubarak. Maka marilah kita gigih meningkatkan amal ibadah dan sentiasa bertaubat memohon keampunan dari Allah SWT.

Peristiwa Isra’ dan Mi’raj merupakan salah satu dari mukjizat agung yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW sebagai satu bentuk penghormatan dan keistimewaan Baginda SAW berbanding nabi-nabi lain.

Selain itu juga, peristiwa ini menjadi penghibur setelah Baginda SAW menerima layanan yang sangat buruk dari penduduk Taif.

Peristiwa Isra’ dan Mi’raj terjadi pada tahun ke-10 kenabian. Namun para ulama berselisih pendapat tentang waktu kejadiannya. Namun begitu, tidak ada perselisihan tentang kebenaran peristiwa ini kerana ia jelas diabadikan dalam al-Quran dan hadis.

Allah SWT menyebutkan peristiwa ini pada dua tempat dalam al-Quran, iaitu dalam Surah al-Isra’ dan pengalaman Nabi Muhammad SAW melihat Jibrail AS secara terus di Sidratul Muntaha sebagaimana diceritakan dalam Surah al-Najm ayat 13-18.

Dalam peristiwa ini, terdapat beberapa kisah penting yang diceritakan melalui beberapa hadis. Antaranya;

  1. Peristiwa pembelahan dan pembersihan dada Nabi Muhammad SAW seperti yang direkodkan oleh Imam al-Bukhari, Imam Muslim dan Ibnu ‘Asakir.
  2. Isra’ iaitu perjalanan ruh dan jasad Nabi Muhammad SAW menaiki buraq dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa.
  3. Nabi Muhammad diberi pilihan antara arak atau susu. Nabi memilih susu dan Jibrail AS berkata: “Engkau telah (memilih) sesuai dengan fitrah”. Ia sebagai isyarat bahawa Islam merupakan cara hidup yang paling sesuai dan bertepatan dengan fitrah manusia.
  4. Mi’raj iaitu perjalanan Baginda SAW dibawa naik melalui beberapa lapisan langit.

Dalam perjalanan Mi’raj ini pula, diceritakan bahawa Nabi Muhammad SAW berjumpa dengan beberapa orang Nabi terdahulu hingga akhirnya perjalanan Rasulullah SAW sampai ke Sidratul Muntaha.

Di sinilah, Allah SWT mewajibkan kepada Nabi Muhammad SAW dan umatnya untuk mendirikan solat 50 kali sehari semalam yang akhirnya dikurangkan kepada lima waktu sehari semalam.

Peristiwa agung Isra’ dan Mi’raj ini benar-benar menguji keyakinan dan keimanan bukan sahaja umat yang ada pada waktu itu, tetapi juga menguji keimanan kita yang ada pada hari ini.

Mampukah kita bertindak seperti Abu Bakar RA yang begitu sangat yakin terhadap Rasulullah SAW dan segala berita yang dibawa oleh Baginda? Ketika Rasulullah SAW menceritakan pengalamannya dalam peristiwa Isra’ dan Mi’raj ini, sebahagian besar masyarakat yang ada pada ketika itu mentertawakan baginda dan mendakwa baginda berdusta.

Hasil peristiwa ini yang menatijahkan kefardhuan solat lima waktu juga menjadi ujian keyakinan dan kesungguhan kita umat Islam dalam melaksanakan tuntutan solat lima waktu sehari semalam.

Pensyariatan ibadah agung yang diterima dalam peristiwa agung ini menjadi petunjuk betapa tingginya nilai ibadah solat yang Allah SWT sebutkan juga.

Selain itu juga, peristiwa agung ini menunjukkan kepada kita betapa sucinya Masjid alAqsa yang terletak di Baitul Maqdis, Palestin. Palestin yang dibuka oleh Nabi Ibrahim AS menjadi tempat kelahiran ramai kalangan para anbiya’ AS dan kiblat pertama bagi umat Islam.

Maka Baitul Maqdis dan terletaknya Masjid al-Aqsa merupakan tanah suci bagi umat Islam, namun tidak menghalang penganut agama lain berkunjung mengikut kepercayaan mereka.

Negara haram Israel yang ditubuhkan hasil penipuan melalui Perjanjian Balfour 1917 dan Perjanjian Sykes-Picot 1916 didokong dengan tindakan memecahbelahkan umat Islam atas perbezaan kaum dan mazhab.

Mereka menubuhkan negara-negara mengikut peta yang dilakarkan oleh mereka sendiri dan dibahagikan dalam kalangan mereka yang bersama-sama menjatuhkan kerajaan Uthmaniyah yang sedang lemah ketika itu.

Maka, inilah peranan kita umat Islam untuk sama-sama memelihara kesucian dan memperjuangkan kebebasan Palestin dari cengkaman Zionis Israel.

Teruskanlah berdoa supaya saudara-saudara kita di Palestin diberi kekuatan dan kesabaran yang saban waktu terpaksa menghadapi kekejaman dan ketidakadilan Zionis Israel yang sombong dan sentiasa berpura-pura atas slogan hak asasi manusia.

Justeru, marilah kita menghayati beberapa kesimpulan.

Pertama: Allah SWT sangat berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. Tiada yang mustahil bagi Allah SWT jika Dia menghendaki berlakunya sesuatu perkara walaupun ia mustahil pada akal manusia yang lemah. Kita wajib mengimani dan menyakini keagungan Allah SWT.

Kedua: Kita diwajibkan dengan kefardhuan solat lima waktu sehari semalam. Mendirikan solat bererti mendirikan agama, manakala meninggalkan solat ibarat meruntuhkan agama dalam diri. Mendirikannya juga dapat memelihara diri dari melakukan perbuatan yang keji dan mungkar.

Ketiga: Meyakini bahawa Islam merupakan suatu cara hidup yang paling tepat dan sesuai dengan fitrah manusia. Tidak ada ajaran lain selain Islam yang adil, benar, dan relevan dengan fitrah manusiawi dan boleh menyelamatkan manusia dari kesengsaraan dunia dan akhirat. – Malaysiapost

Komen