Korban gempa Turkiye, Syria hampir 42,000 orang
JUMLAH kematian gempa bumi dahsyat yang melanda kawasan sempadan Turkiye-Syria kini menghampiri 42,000 mangsa.
Menurut kenyataan Agensi Pengurusan Bencana (AFAD), di Turkiye sahaja, 36,187 orang maut membabitkan 11 wilayah.
Di Syria pula, angka korban disahkan ialah 5,800 menjadikan jumlah kematian keseluruhan sebanyak 41,838.
Usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan dalam misi yang masuk hari ke-10.

Gempa pertama berukuran 7.8 magnitud dan gegaran susulan 7.5 magnitud yang melanda Turkiye dan Syria pada 6 Februari lalu telah meranapkan lebih 5,000 bangunan di kedua-dua negara.
Secara keseluruhan, terdapat lebih 3,800 gegaran susulan direkod hingga kini, menurut AFAD.
Terkini, penduduk di barat laut Syria melaporkan gegaran baharu yang dirasai selama kira-kira 15 saat, semalam. – Malaysiapost