Mais nafi terbabit projek bakul makanan

Mais nafi terbabit projek bakul makanan

MAJLIS Agama Islam Selangor (Mais) menafikan terbabit dalam projek pembekalan bantuan bakul makanan yang dilaksanakan oleh sebuah syarikat.

Sehubungan itu, Setiausahanya, Dr Ahmad Shahir Makhtar, berkata tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyalahguna logo pihak berkuasa agama itu untuk mengelirukan orang ramai.

Menurutnya, Mais menerima aduan yang melaporkan syarikat swasta menerima pesanan pembelian (PO) dan invois yang menggunakan kepala surat rasmi berlogo Mais bagi tujuan mendapatkan dana projek pembekalan bantuan bakul makanan.

Katanya, hasil semakan kedua-dua dokumen itu didapati palsu dan Mais tidak terbabit dengan projek pembekalan bakul makanan serta tidak pernah melantik mana-mana pihak menjadi ejen untuk projek bantuan yang berkaitan.

“Kami kesal dan memandang serius insiden pemalsuan dokumen yang menggunakan logo Mais dan akan melaporkan perkara ini kepada polis supaya siasatan dapat dibuat.

“Tindakan undang-undang yang tegas boleh diambil terhadap pihak yang melakukan jenayah pemalsuan dokumen mengikut seksyen 468 Kanun Keseksaan (Akta 574),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, perbuatan pemalsuan dokumen ini adalah satu jenayah yang serius kerana ia menjejaskan imej agensi itu dalam menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada umat Islam khususnya di Selangor.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan berwaspada dengan penipuan oleh mana-mana pihak yang menggunakan nama organisasi itu untuk tujuan mendapatkan sumbangan dan apa-apa kepentingan lain.

Sebelum ini, media melaporkan seorang usahawan disyaki menggunakan logo Mais pada kepala surat dokumen pesanan pembelian untuk mendapatkan dana berjumlah RM660,000 bagi melaksanakan projek bantuan bakul makanan. – Malaysiapost

Komen