Malaysia-Singapura kongsi kepakaran bidang pertanian moden – Mat Sabu
MALAYSIA dan Singapura komited membangunkan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara dalam sektor pertanian khususnya berkaitan perdagangan agromakanan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata kestabilan bekalan makanan adalah isu global dan perlu ditangani bersama oleh Malaysia dan Singapura.
“Dalam masa yang sama, Malaysia turut mempelawa Singapura untuk bersama-sama meningkatkan bekalan makanan melalui pelaburan dalam sektor pertanian moden di Malaysia.
“Tambahan pula, Singapura bersedia untuk berkongsi teknologi dan kepakarannya dalam bidang pertanian pintar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohamad menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Singapura TYT Vanu Gopalu Menon di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Kuala Lumpur, semalam.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) MAFS dan pegawai-pegawai kanan MAFS serta wakil Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura di Malaysia.
Katanya, antara yang dibincangkan dalam pertemuan itu adalah kepentingan membangunkan pertanian moden dan aplikasi teknologi pintar dalam sektor pertanian.
Beliau berkata, Singapura merupakan rakan dagang pertanian yang penting untuk Malaysia.
“Untuk rekod, daripada Januari hingga Oktober 2022, nilai perdagangan dalam sektor pertanian di antara Malaysia dan Singapura adalah berjumlah RM15.99 bilion.
“Kedua-dua negara bersedia untuk memberikan komitmen bagi memperkukuhkan perdagangan dua hala dalam bidang pertanian selaras dengan matlamat untuk menjamin sumber bekalan makanan yang mampan dan berterusan,” katanya. – Malaysiapost