Menu Rahmah bakal ‘terkubur’ jika kerajaan tidak kawal harga barang
PELAKSANAAN Menu Rahmah dijangka hanya mampu bertahan untuk tempoh tiga bulan sahaja sekiranya tiada tindakan komprehensif daripada kerajaan untuk mengawal harga barang.
Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari, berkata beliau mengakui Menu Rahmah merupakan inisiatif yang baik untuk rakyat, namun kerajaan perlu mengambil tindakan untuk jangka masa panjang dalam mengatasi isu kos sara hidup.
“Sekiranya kerajaan gagal mengambil langkah sewajarnya untuk jangka masa panjang, dibimbangi ianya hanyalah bersifat kosmetik sahaja pelaksanaan program ini,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, lebih 15,000 restoran menawarkan Menu Rahmah berharga RM5 bagi hidangan makanan tengah hari atau makan malam untuk golongan B40, sejak 30 Januari lalu.
Inisiatif Menu Rahmah bertujuan memastikan golongan B40 khususnya mampu membeli makanan di restoran pada harga yang berpatutan.
Dalam pada itu, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mencadangkan agar kerajaan mengawal harga barang dengan tidak melakukan kenaikan mendadak.
Katanya, perkara itu penting supaya Menu Rahmah dapat bertahan dan dinikmati oleh rakyat terutama pada musim perayaan yang akan datang.
“Isu ini disuarakan berikutan dengan rakyat sudah pun ‘terduduk’ berikutan kos harga barang yang semakin naik,” katanya.
Sebelum ini, Pengarah Urusan Mydin Datuk Ameer Ali Mydin mendakwa Menu Rahmah yang menawarkan hidangan asas pada harga hanya RM4.90, akan bertahan tiga bulan sahaja, jika kos bekalan bahan mentah terus meningkat.
Sehubungan itu, beliau menggesa penyelesaian yang lebih mantap untuk menangani tekanan kos sara hidup dilakukan supaya Menu Rahmah itu dapat terus dikekalkan. – Malaysiapost