‘Menu Rahmah hanya retorik, rakyat mahu KWSP dan kenaikan gaji’

‘Menu Rahmah hanya retorik, rakyat mahu KWSP dan kenaikan gaji’

KONSEP Menu Rahmah hanya sekadar pendekatan retorik bagi mengalih isu rakyat yang mahukan kenaikan gaji dan juga pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kata Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin.

Bekas Exco Pergerakan Pemuda Umno itu berkata, konsep sama seperti Menu Rahmah sudah dilaksanakan oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan nama Menu 1 Malaysia.

Katanya, bagaimanapun ia telah diketepikan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Katanya lagi, beliau mengakui konsep yang diketengahkan itu ada kebaikan namun impaknya kepada peniaga dan juga rakyat tidak menyeluruh.

“Seharusnya, kini bukan masa mengkaji, mengkaji dan mengkaji, tetapi adalah perlaksanaan. Semenjak tahun 2000 sampailah kini, setiap kali nak PRU sahaja, perkara ini dijanjikan, tetapi selepas menang hanya jawapan yang dberikan kami akan menubuhkan ‘taskforce’ untuk mengkaji kenaikan gaji.

“Tiba lagi PRU, pasukan pengkaji entah ke mana, dijanjikan lagi kenaikan gaji,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhamad Muqharabbin berkata, rakyat kini sudah mampu menilai dan tidak akan diperbodohkan lagi dengan janji-janji manifesto yang langsung tidak berfungsi setelah menang PRU.

Beliau turut menyeru kerajaan dapat membenarkan pengeluarkan kali terakhir KWSP sekurang kurang 10 peratus sehingga 15 peratus dari baki simpanan setiap penyimpan.

“Saya berharap agar kerajaan perpaduan kini sekurang-kurangnya dalam masa 1 tahun ini, bagilah berita gembira berkenaan kenaikan gaji di Malaysia.

“Kita semua tahu tahun ini, keadaan ekonomi negara agak meruncing dan membimbangkan. Bukan mudah untuk mendapatkan peluang pekerjaan dan memulakan perniagaan. Bagilah sedikit nafas untuk rakyat untuk kesekian kali ini,” katanya. – Malaysiapost

Komen