Mohd Rafiq kembali kepada Umno

Mohd Rafiq kembali kepada Umno

BEKAS Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen diterima semula menyertai Umno berkuat kuasa pada 18 Mac ini iaitu selepas pemilihan parti berakhir.

Permohonan untuk kembali semula kepada Umno yang dihantar beberapa minggu lepas telah diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang dipengerusikan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, malam tadi.

Mohd Rafiq sedar keputusan menyertai Umno itu tidak popular dan mungkin tidak dapat diterima semua pihak, namun berterima kasih kepada pimpinan parti yang memberinya peluang sekali lagi.

“Saya yakin dan percaya perjalanan karier politik yang penuh mencabar dari awal penglibatan sehingga ke hari ini termasuklah perjuangan saya semula bersama Umno adalah ketentuan Allah.

“Ingin saya tegaskan, kemasukan saya ke dalam Umno bukan kerana kedudukan parti yang telah berada dalam Kerajaan Perpaduan hari ini.

“Saya tidak bersama Bersatu dan menyokong Umno sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lagi, ketika itu belum tahu parti mana yang mentadbir negara,” katanya menerusi Facebook.

Mohd Rafiq merupakan bekas Exco Pemuda Umno yang digantung keahlian selama enam tahun oleh Lembaga Disiplin Umno pada 2016 kerana menghasut dan merancang sabotaj terhadap Presiden parti ketika itu, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Idris Haron.

Pada 30 Oktober tahun lalu, Mohd Rafiq mengumumkan meletakkan semua jawatan dalam Bersatu dan keluar daripada parti itu.

Mengulas lanjut, Mohd Rafiq berkata, beliau ikhlas serta bertekad dan beriltizam untuk berjuang bersama kepimpinan Umno untuk mengembalikan semula sokongan dan kepercayaan rakyat kepada parti itu.

“Saya bersyukur apabila perjuangan saya dalam Umno yang terhenti seketika sebelum ini dapat diteruskan kembali,” katanya. – Malaysiapost

Komen