Semakan daftar pemilih tambahan mulai hari ini

Semakan daftar pemilih tambahan mulai hari ini

MULAI hari ini, pengundi boleh menyemak Daftar Pemilih Tambahan Bulan Januari Tahun 2023 (DPT BLN1/2023) yang dibuka selama 30 hari hingga 18 Mac depan.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, DPT BLN1 itu mengandungi 39,604 nama warganegara berumur 18 tahun ke atas bagi tempoh 1 hingga 31 Januari yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.

Beliau berkata, ia juga mengandungi 10,092 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 3,769 orang pemilih bertukar status atau kategori pengundi.

“Daftar pemilih itu diperaku semalam dan diwartakan hari ini. Ia boleh disemak melalui lima kaedah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ikmalrudin berkata, pemilih boleh membuat semakan dengan cara melayari portal SPR di https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my dan portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di http://ppn.spr.gov.my.

Katanya, pengundi juga boleh menyemaknya menggunakan aplikasi mudah alih MySPR Semak atau talian hotline Semakan Pendaftaran Pemilih di nombor 03-88927218.

“SPR menasihati warganegara yang berusia 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 Januari 2023 hingga 31 Januari 2023 dan mana-mana pemilih berdaftar yang memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN1/2023,” katanya.

Beliau berkata, pemilih terbabit boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan jika mendapati nama mereka tidak disenaraikan dalam DPT BLN1/2023.

Katanya, mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membantah kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang D melalui aplikasi dalam talian di https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

“Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun dari portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan untuk membuat serahan dan membayar fi bantahan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN1/2023,” katanya. – Malaysiapost

Komen