Zahid buat rayuan pertimbang pasport dikembalikan secara kekal
DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi memohon Mahkamah Rayuan menyemak dan menimbangkan permohonan supaya pasport antarabangsanya dikembalikan secara kekal, bagi menjalankan tugas rasmi sebagai timbalan perdana menteri dengan lancar.
Ahmad Zahid berkata, keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk mendapatkan dokumen itu bakal memprejudiskan hak dan tanggungjawabnya kerana perlu memohon secara rasmi di mahkamah setiap kali hendak ke luar negara atas urusan kerja.
Pada 3 Februari lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah menolak permohonan Ahmad Zahid, tetapi membenarkan pasport diserahkan sementara bagi membolehkan Presiden Umno itu membuat pasport diplomatik untuk urusan rasmi.
Dokumen itu sebelum ini diserahkan dan berada dalam simpanan mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan, selepas beliau didakwa dengan 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang kini dalam peringkat bela diri.
Melalui notis usul bertarikh 13 Februari lalu yang difailkan di Mahkamah Rayuan, Ahmad Zahid memohon supaya permohonan pelepasan pasport secara penuh dan kekal dipertimbangkan kembali dan diputuskan Mahkamah Rayuan dengan apa-apa syarat sewajarnya dikenakan mahkamah terbabit.
Menerusi afidavit sokongannya, Ahmad Zahid berkata, Sequerah terkhilaf dan salah dalam menggunakan budi bicara ketika menolak permohonannya untuk mendapatkan dokumen itu secara kekal.
“Sebagai seorang individu yang menjawat antara jawatan tertinggi dalam negara, ia dilihat tidak praktikal dan rumit untuk saya memohon ke mahkamah setiap kali ingin melakukan tugasan ke luar negara.
“Oleh itu, wajar bagi Mahkamah Rayuan mempertimbangkan bahawa kelulusan permohonan itu bakal memberi kebaikan dan kelangsungan terhadap pentadbiran negara yang menjadi tanggungjawab setiap individu.
“Permohonan ini sama sekali tidak bersifat mala fide (niat jahat) atau prejudis terhadap mana-mana pihak kerana saya mengaku janji untuk tetap memberi kerjasama penuh dalam menyelesaikan kes (rasuah) sehingga ke peringkat akhir pembelaan,” katanya memetik Berita Harian.
Dalam prosiding pengurusan kes hari ini secara dalam talian, Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron menetapkan 27 Mac ini bagi pendengaran notis usul itu.
Prosiding turut disertai peguam Aiman Abdul Rahman manakala Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob bertindak bagi pihak pendakwaan.
Sequerah yang kini hakim Mahkamah Rayuan dalam keputusannya menolak permohonan Ahmad Zahid, menekankan bahawa Perlembagaan Persekutuan menetapkan semua individu sama di sisi undang-undang dan tiada sesiapa atau golongan masyarakat yang boleh diberi keistimewaan serta melangkauinya.
Katanya, Ahmad Zahid boleh memohon supaya pasportnya dilepaskan apabila perlu dan ketika hendak menjalankan tugasnya di luar negara selagi mana ia tidak mengganggu perbicaraan di mahkamah. – Malaysiapost