Ahmad Razif rebut kembali kerusi Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus

Ahmad Razif rebut kembali kerusi Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus

BEKAS Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abd Rahman akan bertanding jawatan Ketua Bahagian Umno Kuala Nerus, dalam Pemilihan Umno 2023.

Beliau menyerahkan borang pencalonan kepada Setiausaha Kerja Umno Bahagian Kuala Nerus, Abu Bakar Jusoh di pejabat parti itu kira-kira jam 10 pagi tadi bagi membolehkannya bertanding jawatan berkenaan untuk penggal 2023/2026.

“Keputusan yang saya ambil ini adalah berasaskan kepada prinsip demokrasi dalam Umno serta mengambil kira pandangan serta hasrat ahli parti di peringkat akar umbi untuk saya kembali memimpin Umno di Bahagian Kuala Nerus.

“Sesungguhnya saya sedar mengenai cabaran yang akan dihadapi, namun saya percaya berkat doa dan hasrat ahli-ahli parti yang inginkan perubahan setelah Umno berhadapan saat getir pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang lalu.

“Maka saya dengan penuh rendah diri dan tawaduk menawarkan diri untuk bertanding jawatan tersebut,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, malam ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Seberang Takir, akan bertanding jawatan yang disandang Dr Apli Yusoff sejak 2018.

Ahmad Razif berharap semua yang menyertai pertandingan pada pemilihan pucuk kepimpinan Umno di Bahagian Kuala Nerus dapat sama-sama meraikan dan mengisi demokrasi dengan semangat muhibah dan berkasih sayang.

“Saya juga merakamkan ucapan terima kasih kepada semua ahli parti yang sentiasa memberikan sokongan dan dokongan kepada saya untuk memulihkan Umno, khususnya di Bahagian Kuala Nerus agar kembali ke era kegemilangannya.

“Dengan rasa rendah diri saya memohon sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada perwakilan agar memberikan peluang kepada saya untuk sekali lagi menerajui Umno Bahagian Kuala Nerus ini.

“Sama-samalah dengan penuh iltizam, kita teruskan perjuangan demi Umno, demi kita semua,” katanya.

Pada pemilihan Umno 2018, Ahmad Razif yang juga penyandang Ketua Bahagian Umno Kuala Nerus tewas kepada Apli dengan majoriti 41 undi. – Malaysiapost

Komen