Atsu sah korban gempa Turkiye
PEMAIN antrabangsa Ghana, Christian Atsu disahkan menjadi seorang daripada puluhan ribu korban gempa bumi yang melanda Tukiye susulan penemuan mayatnya di bawah runtuhan bangunan selepas 12 hari gempa kuat melanda negara itu.
Atsu yang kini bermain untuk pasukan Hatayspor dalam Liga Super Turkiye, dilaporkan menjaringkan gol kemenangan pada minit-minit akhir perlawanan pasukannya sehari sebelum bencana itu melanda.

Kematian pemain yang pernah bermain untuk Chelsea, Newcastle, Everton, Porto, Bournemouth dan Malaga itu dimaklumkan oleh pengurusnya di Turkiye, Murat Uzunmehmet dalam satu ciapan di Twitter, hari ini.
“Christian Atsu telah ditemui, malangnya dia telah meninggal dunia,” ciap Murat Uzunmehmet.
Berita sedih berkenaan turut disahkan oleh ejen pemain itu Nana Sechere, yang dilaporkan bersama ahli keluarga Atsu di Antakya, Hatay sepanjang tempoh pencarian pemain berkenaan.

“Dengan berat hati saya mengumumkan kepada semua yang berdoa, berita sedih mayat Christian Atsu telah ditemui pagi tadi.
“Ucapan takziah kepada ahli keluarga dan mereka yang menyayanginya. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua atas doa dan sokongan anda.
“Sementara kami menguruskan apa yang diperlukan, saya berharap semua pihak menghormati privasi keluarga dalam masa yang sangat sukar ini,” katanya di Twitter.
Atsu, 31, yang beraksi selama empat musim di Chelsea, mengikat kontrak dengan Hatayspor pada September lalu.
Gempa bumi berskala 7.8 magnitud menggegarkan Turkiye dan Syria pada 6 Februari lalu serta mengorbankan lebih 43,000 nyawa di kedua-dua negara berkenaan. – Malaysiapost