Bruce Willis disahkan hidap demensia
SELEPAS hampir setahun berehat daripada dunia lakonan, bintang aksi terkenal Hollywood, Bruce Willis disahkan menghidap penyakit demensia.
Perkara itu dikongsi isterinya, Emma Heming Willis menerusi satu hantaran di Instagram miliknya.
Emma bagaimanapun melahirkan rasa lega apabila penyakit Willis berjaya dikesan lebih awal, sekali gus rawatan dapat dilakukan dengan segera.
“Sejak Willis menghidap penyakit afasia tahun lalu, keadaannya bertambah baik tetapi baru-baru ini kami dapat tahu lebih spesifik mengenai keadaannya iaitu frontoremporal demensia (FTD).
“Kesukaran berkomunikasi adalah satu-satunya simptom dialami Willis,” tulisnya.
Katanya, walaupun berita itu menyakitkan, namun dia lega kerana dapat tahu penyakit sebenar dialami Wilis.
“Buat masa sekarang, tiada rawatan untuk penyakit demensia, tetapi kami harap ia akan berubah pada masa akan datang,” kongsinya.
Pada Mac tahun lalu, pelakon berusia 67 tahun itu mengumumkan bersara daripada dunia lakonan selepas disahkan menghidapi afasia.
Demensia adalah penyusutan daripada segi kemampuan minda termasuk hilang ingatan, kekeliruan, perubahan keperibadian, penurunan kemampuan berfikir selain tidak mampu melakukan aktiviti harian.
Manakala, afasia adalah keadaan yang membuatkan kemampuan komunikasi terjejas sama ada menulis dan memahami bahasa secara lisan mahupun bertulis. – Malaysiapost