Guru boleh muat turun templat PBD luar talian Isnin ini

Guru boleh muat turun templat PBD luar talian Isnin ini

TEMPLAT Perekodan dan Pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) bagi ujian akhir sesi akademik tahun 2022/2023 secara luar talian boleh dimuat turun mulai Isnin ini.

Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali, berkata susulan kenyataan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 15 Februari lalu mengenai guru diberi alternatif merekodkan PBD secara luar talian, templat berkenaan telah disediakan.

“Templat ini untuk guru merekodkan markah/skor dan melaporkan tahap penguasaan (TP) PBD.

“Templat baharu ini adalah sebagai alternatif kepada guru selain daripada merekod dan melaporkan secara dalam talian Sistem Pengurusan Pentaksiran Bersepadu (SPPB) KPM,” katanya dalam satu surat kepada semua Ketua Bahagian dan Pengarah Pendidikan Negeri, hari ini.

Menurutnya, templat pelaporan dan manual pengguna pelaporan berkenaan boleh dimuat turun mulai 20 Februari ini dari portal KPM https://www.moe.gov.my/ dan portal Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) http://bpk.moe.gov.my/.

“Templat itu boleh dimuat turun dalam dua fail .zip iaitu Pelaporan _offline.zip dan Manual pengguna pelaporan_offline.zip,” katanya.

Terdahulu KPM dalam satu kenyataan pada Rabu lalu memutuskan untuk memberi autonomi kepada guru untuk memilih sama ada untuk merekod dan melaporkan tahap penguasaan pentaksiran bilik darjah (PBD) murid secara atas talian atau hibrid.

KPM memaklumkan keputusan itu susulan prihatin akan isu dihadapi guru untuk merekod dan melaporkan tahap penguasaan PBD murid bagi sesi akademik tahun 2022/2023 dalam SPPB, KPM. – Malaysiapost

Komen