Harga lantai pakej umrah kini RM7,800
PERSATUAN Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) memutuskan untuk menetapkan harga lantai bagi pakej pada kadar bermula RM7,800 dan RM14,000.
Presidennya Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, penetapan harga lantai itu susulan kenaikan harga tiket penerbangan dan juga hotel penginapan di Madinah dan Mekah.
Menurutnya, keputusan itu dibuat dalam satu perjumpaan ahli-ahli persatuan di sebuah hotel di Ampang, semalam.
“Perjumpaan bertujuan membincangkan mengenai kenaikan harga tiket penerbangan dan juga hotel penginapan di Madinah dan Mekah. Antara dikenalpasti ialah permintaan mengerjakan ibadah umrah yang tinggi dari jemaah seluruh dunia.
“Oleh yang demikian, ahli mencapai kata sepakat untuk meletakkan harga lantai bagi pakej umrah ekonomi bermula dari RM7,800, manakala pakej umrah premium atau VIP bermula dari RM14,000,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Razali berkata, pihak PAPUH berharap agar bakal jemaah umrah memahami keadaan yang berlaku sekarang di atas kenaikan harga pakej berkenaan.
“Pihak PAPUH juga menyarankan bakal jemaah umrah berhati-hati dalam memilih pakej Umrah terutama pada harga yang tidak munasabah untuk mengelak berlakunya penipuan,” katanya. – Malaysiapost