Jasmin Hamid syukur jantung sudah tak tersumbat
PELAKON Jasmin Hamid yang dimasukkan ke Hospital Serdang semalam mengucapkan syukur selepas dimaklumkan jantungnya tidak mengalami komplikasi tersumbat.
Pemilik nama sebenar Jasmiah Abdul Hamid, 51, itu bagaimanapun memberitahu doktor telah mengesan masalah lain pada jantungnya dan perlu menjalani pengimejan resonans magnet (MRI).
“Syukur alhamdulillah. Berkat doa suami, anak-anak, adik-beradik, mentua, keluarga, sanak saudara, sahabat handai dan penyokong-penyokong yang sayangkan saya, doktor maklumkan saya bebas sumbatan atau ‘no blockage’. Ini adalah berita baik yang saya terima.
“Berita buruk pula, saya harus menjalani ujian MRI kerana doktor dapati urat jantung saya agak pelik sedikit dari biasa.
“Agak jarang kes sebegini katanya dan jika ada rezeki saya, dapatlah saya buat MRI dalam masa terdekat sebab giliran agak panjang untuk MRI,” katanya dalam hantaran di Instagram.
Terdahulu, aktres itu menerusi hantaran di Instagram memaklumkan dimasukkan ke hospital bagi menjalani prosedur angiogram.
“Mohon doa dari yang sayangkan saya agar Allah permudahkan urusan saya untuk angiogram pagi ini. Mudah-mudahan tiada tersumbat pada jantung saya,” tulisnya.
Jun tahun lalu, Jasmin pernah dirawat di Unit Penjagaan Koronari (CCU) selepas mengalami serangan jantung buat pertama kali. – Malaysiapost