Kelantan sumbang RM100,000 kepada mangsa gempa Turkiye, Syria
KERAJAAN Kelantan akan menyumbang sebanyak RM100,000 kepada Turkiye dan Syria bagi membantu mangsa gempa bumi di kedua-dua negara itu.
Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakob berkata, sumbangan itu merupakan tanda solidariti rakyat Kelantan terhadap mangsa gempa bumi yang kini mengorbankan lebih 40,000 nyawa dan puluhan ribu yang lain cedera.
“Mangsa gempa bumi yang kehilangan tempat tinggal di kedua-dua negara kini mencecah lebih sejuta orang.
“Semoga usaha-usaha pasukan keselamatan dan sukarelawan dipermudahkan oleh Allah SWT bagi melancarkan operasi mencari dan menyelamat serta pemulihan pasca bencana,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Jumlah kematian gempa bumi dahsyat yang melanda kawasan sempadan Turkiye-Syria kini melebihi 43,000 mangsa.
Gempa pertama berukuran 7.8 magnitud dan gegaran susulan 7.5 magnitud yang melanda Turkiye dan Syria pada 6 Februari lalu telah meranapkan lebih 5,000 bangunan di kedua-dua negara.
Secara keseluruhan, terdapat lebih 3,800 gegaran susulan direkod hingga kini. – Malaysiapost