Kerajaan setuju pinda Perlembagaan isu kewarganegaraan

Kerajaan setuju pinda Perlembagaan isu kewarganegaraan

KERAJAAN bersetuju untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan anak-anak yang dilahirkan wanita Malaysia di luar negara mendapat hak kerakyatan negara ini.

Keputusan itu dimaklumkan dalam kenyataan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurut kenyataan itu, cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan itu untuk menggantikan perkataan ‘bapanya’ dalam Bahagian I dan Bahagian II Jadual Kedua dengan perkataan ‘sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya’ bagi membolehkan ibu warganegara Malaysia mendapat hak seadilnya.

Katanya, Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2023 dijangka akan dibentangkan dalam persidangan Parlimen kali ini.

“Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Perpaduan kerana merealisasikan komitmen negara terhadap kesaksamaan jantina dan memenuhi hak terhadap kanak-kanak,” katanya.

Jelasnya, dengan keputusan itu, anak yang lahir di luar negara sebelum atau selepas Hari Malaysia, yang mana sama ada bapa atau ibunya warganegara Malaysia berhak mendapat kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang menurut Fasal (1) Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan itu berkata, pada masa sama, pindaan berkaitan Bahagian III akan dikaji dengan lebih terperinci oleh jawatankuasa di bawah KDN dan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri setelah cadangan itu dimuktamadkan.

“Perkara ini sejajar dengan komitmen Kerajaan Perpaduan untuk mengiktiraf kesamarataan wanita dan lelaki sekali gus menyingkirkan diskriminasi terhadap wanita di Malaysia.

“Ia juga mengatasi kelemahan peruntukan kewarganegaraan, menyelesaikan lambakan kes-kes tertunggak bagi wanita yang memohon kewarganegaraan anak mereka melalui pendaftaran yang mengambil masa terlalu lama dan tidak munasabah.

“Selain memberikan tafsiran yang jelas dan mengelakkan tafsiran berbeza dari mahkamah,” kata kenyataan itu.

Bulan lalu, Azalina dan Saifuddin berikrar bahawa kerajaan komited untuk meminda undang-undang negara yang membabitkan isu kewarganegaraan, termasuk untuk kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu Malaysia yang berkahwin dengan warga asing. – Malaysiapost

Komen