Kerakyatan automatik bukan retorik – Juwairiya

Kerakyatan automatik bukan retorik – Juwairiya

PINDAAN Perlembagaan Persekutuan membenarkan anak-anak dilahirkan wanita Malaysia di luar negara mendapat hak kerakyatan negara ini, bukti reformasi institusi dan undang-undang bukan sekadar retorik politik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, isu tersebut sudah berlegar terlalu lama dan tidak diberikan pengadilan sewajarnya terutamanya kepada anak-anak yang terkesan kerana kekangan undang-undang sedia ada.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas komitmen dan menyokong dengan jitu akan keputusan yang telah dibuat oleh Kabinet.

“Anak-anak bagi kes kewarganegaraan yang terhalang ini harus segera dibantu untuk mendapatkan kewarganegaraan di bawah Artikel 15 (A) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Juwairiya berkata, pengumuman tersebut merupakan satu keputusan dan berita baik buat anak dan juga ibu yang terkesan.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Wanita PKR Pusat berkata, wanita Malaysia bakal mempunyai hak untuk menurunkan kewarganegaraan kepada anak-anak yang dilahirkan di luar negara secara autonatik.

“Sejajar dengan saranan semangat Malaysia Madani – komitmen untuk meletakkan kepentingan rakyat adalah sentiasa menjadi keutamaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Terdahulu, kerajaan hari ini bersetuju untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan anak-anak yang dilahirkan wanita Malaysia di luar negara mendapat hak kerakyatan negara ini.

Keputusan itu dimaklumkan dalam kenyataan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurut kenyataan itu, cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan itu untuk menggantikan perkataan ‘bapanya’ dalam Bahagian I dan Bahagian II Jadual Kedua dengan perkataan ‘sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya’ bagi membolehkan ibu warganegara Malaysia mendapat hak seadilnya. – Malaysiapost

Komen