Kit Siang tak layak tegur PN – Wan Saiful

Kit Siang tak layak tegur PN – Wan Saiful

LIM Kit Siang disifatkan tidak layak menegur kredibiliti Perikatan Nasional (PN) sebagai pembangkang, kerana dilihat sudah ‘muflis’ moral susulan DAP bekerjasama dengan musuh tradisinya selama ini iaitu Umno.

Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata veteran DAP itu sekarang sudah tidak ada pendirian moral untuk bercakap soal kredibiliti politik sesiapapun.

“Saya antara generasi baru dalam Dewan Rakyat. Saya tahu sejarah dan saya hormat Lim Kit Siang selaku pemimpin veteran dalam arena politik tanah air.

“Tetapi apabila Uncle Lim yang dah bersara terlupa untuk mencermin muka sendiri, saya terpaksa tegur. Uncle Lim sekarang sudah tidak ada ‘moral standing’ untuk bercakap soal kredibiliti politik sesiapapun.

“Apatah lagi untuk mengkritik PN. Kerana Uncle Lim sebenarnya dah menggadai prinsip perjuangan dan maruah dirinya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, mengulas mengenai kenyataan Kit Siang, semalam yang mengkritik Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin selepas hari pertama pembukaan Parlimen ke-15 oleh Yang di Pertuan Agong.

Kit Siang yang juga bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri, mendakwa Hamzah gagal untuk menjadi penyemak imbang semasa Waktu Pertanyaan Perdana Menteri dan gagal dengan ujian Agong untuk menjamin kestabilan politik.

Wan Saiful, mempersoalkan tindakan berdiam diri Kit Siang ketika Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat rundingan pintu belakang dengan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lagi.

“Adakah Uncle Lim pun sebenarnya dah lama menjual maruah perjuangan kepada Umno? Mana suara Uncle Lim apabila Presiden Umno yang masih mempunyai 47 pertuduhan mahkamah dilantik dalam Kabinet sebagai Menteri dan Timbalan Perdana Menteri?

“Adakah Uncle Lim sanggup terima kleptokrat dan perasuah demi kuasa dan kedudukan?” soalnya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan veteran DAP itu yang berdiam diri dalam isu nepotisme membabitkan Perdana Menteri apabila melantik anaknya Nurul Izzah sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan.

“Adakah Uncle Lim takut orang tersedar bahawa dia juga mengamalkan nepotisme untuk memberi tempat dalam parti kepada anak dan menantu sendiri?

“Saya faham Uncle Lim terpaksa bercakap walaupun dah bersara sebab setakat ini Anwar belum bagi jawatan kepada anak lelaki harapan Uncle Lim.

“Saya ucapkan good luck, Uncle Lim. Semoga anak dan menantu Uncle Lim diangkat oleh Anwar. Lagipun perangai nepotisme dah lebih kurang sama,” sindirnya. – Malaysiapost

Komen